Friday, August 20, 2010

Konflik Penggunaan Nama LGE dalam Khutbah"Utusan Malaysia"

TPM arah siasat guna nama Guan Eng dalam khutbah Jumaat

PUTRAJAYA 20 Ogos - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan siasatan dibuat jika penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin benar-benar berlaku.
Sambil menyifatkan perbuatan itu boleh mencetuskan implikasi besar, beliau mahu pihak polis melakukan siasatan bagi menentukan sama ada tindakan mengekangnya dapat diambil oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.
Menurutnya, siasatan juga perlu dibuat bagai memastikan arahan menggunakan nama Ketua Menteri Pulau Pinang itu telah dikeluarkan oleh pihak tertentu ke atas masjid-masjid di negeri itu.
"Saya percaya perkara ini boleh memberi implikasi besar, jadi wajar pihak berkuasa menyiasat kalau kenyataan sebegitu sudah berkembang (ke seluruh masjid).
"Saya nakkan perkara ini (hasil siasatan) dikaji, diteliti, kalau benda ini ada berlaku maka tindakan tertentu daripada pihak tertentu kena diambil," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatakuasa Kabinet mengenai Pembangunan Modal Insan di sini hari ini.
Setakat ini, kata Muhyiddin, beliau masih belum mendapat maklumat berhubung pendedahan yang dibuat oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya dibaca dalam laporan akhbar.
Akhbar hari ini melaporkan dakwaan Ahmad Zahid yang mendedahkan penggunaan nama Setiausaha Agung DAP dalam khutbah Jumaat yang dikesan sejak minggu lalu di beberapa masjid di sekitar Permatang Pauh dan Jelutong.
Perkembangan itu, tegasnya, amat mengejutkan kerana seolah-olah ada usaha pihak tertentu untuk mencemarkan nama Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam di negeri itu.
"Saya pun baca dalam media, saya tak dapat laporan daripada mana-mana pihak sama ada kenyataan itu benar atau pun tidak, adakah ia memang dibuat secara betul, di mana masjid yang disebut saya pun kurang tahu," katanya.
Keputusan siasatan amat penting sebelum sebarang keputusan dapat dibuat oleh pihak berkepentingan dalam menjaga hal ehwal berhubung soal agama.

MAIPP nafi keluar arahan guna nama Guan Eng dalam khutbah

PULAU PINANG 20 Ogos - Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) menafikan pihaknya ada mengeluarkan arahan atau menyediakan sebarang teks baru supaya nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dimasukkan dalam doa khutbah solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Yang Dipertuanya, Ellias Zakaria berkata, doa yang dibaca khatib di negeri ini adalah sama seperti yang digunakan oleh seluruh masjid sejak dahulu lagi yang antara lain mendoakan kesejahteraan Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam negeri.
Namun jelas beliau, pihaknya tidak mampu memantau semua masjid bagi memastikan setiap doa yang dibaca, diikuti seperti yang telah ditetapkan mengikut peraturan sedia ada.
''MAIPP kena siasat dahulu kesahihan dakwaan berkenaan dan masjid yang terlibat kerana sehingga kini tiada aduan yang kita terima memaklumkan perkara tersebut.
''Justeru saya minta mereka yang tahu dan mendengar tentang perkara ini datang dan membuat laporan kepada MAIPP," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas bantahan yang dibuat oleh Badan Perhubungan UMNO negeri apabila nama Guan Eng digunakan dalam bacaan khutbah solat Jumaat menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong di beberapa masjid baru-baru ini.
Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penggunaan nama Setiausaha Agung DAP itu dalam khutbah Jumaat dikesan sejak minggu lalu di beberapa masjid sekitar Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Jelutong.
Mengulas lanjut, Ellias berkata, pihaknya dan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang akan menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan berkenaan termasuk menyoal siasat pihak masjid yang dikatakan terlibat dalam isu tersebut.
''Sebagai sebuah majlis agama dan jawatan yang dipertuanya sendiri dilantik atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, kami tidak akan sesekali bertindak sedemikian dan menafikan hak kemuliaan Seri Paduka kerana perbuatan seperti itu tidak pernah dibenarkan.
''Bagaimanapun jika terjadi, ia adalah berdasarkan pada kehendak individu itu sendiri dan tidak ada kaitan dengan MAIPP,'' katanya.
Menurutnya, jika terbukti perkara itu berlaku, pihaknya akan merujuk kepada Jawatankuasa Penulisan Khutbah yang dipengerusikan Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad dan terpulang kepada mereka untuk mengambil tindakan selanjutnya.

No comments:

Post a Comment