Thursday, August 26, 2010

Nuzul al-Quran : Kitabullah Bukan Sekadar Untuk Di Baca. Bahagian 1


Tanggal 17 Ramadhan merupakan satu tarikh yang selalu diperingati oleh umat Islam. Pada tarikh inilah masjid-masjid dipenuhi dengan ceramah dan media massa terutamanya televisyen tidak akan terlepas menyiarkan rancangan atau kuliah sempena memperingati Nuzul (penurunan) Al-Qur’an. 



pelbagai program tak putus diadakan sempena menyambut tarikh penurunan Al-Qur’an ini. Bagi kebanyakan individu pula, pada bulan inilah mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk menghabiskan bacaan 30 juzuk Al-Qur’an sebagai satu kelaziman. Memang benar bahawa setiap Muslim sepatutnya memperingati tarikh penurunan Al-Qur’an. Al-Qur’an merupakan sebuah kitab yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam untuk disampaikan kepada umat manusia. Al-Qur’an adalah petunjuk (huda) dan pembeza (furqân).  

Allah  Subhanahu wa Ta’ala berfirman bermaksud:

“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia
dan penjelasan mengenai petunjuk itu serta pembeza (antara yang haq dan yang bathil)”


Seperti penjelasan Imam al-Qurthubi, ayat ini menjelaskan bahawa Allah menurunkan Al-Quran untuk menjadi petunjuk dan penjelasan bagi umat manusia; menjelaskan kepada mereka yang halal dan haram, berbagai peringatan dan hukum-hakam, serta pembeza antara yang haq dan yang batil. Al-Qur’an adalah huda (petunjuk), artinya Al- Qur’anlah yang seharusnya memandu dan memimpin kehidupan umat manusia. Al-Qur’an telah menjelaskan perbuatan apa yang wajib dilakukan, mana yang sebaiknya dilakukan, mana yang boleh dilakukan, mana yang sebaiknya ditinggalkan dan mana yang wajib ditinggalkan. Al-Qur’an juga menjelaskan apa yang boleh diambil dan apa yang tidak. Al-Qur’an adalah furqân (pembeza), artinya menjadi piawai yang menentukan mana yang haq dan mana yang batil. Oleh kerana itu, al-haq (kebenaran) adalah apa saja yang dinyatakan benar oleh Al-Qur’an dan al-bâthil (kebatilan) adalah apa saja yang dinyatakan batil oleh Al-Qur’an. Yang dituntut dari kita hanyalah menjadikan Al-Qur’an sebagai petunjuk yang memandu dan memimpin kehidupan kita; sebagai sumber hukum yang wajib kita ambil dan kita terapkan; juga sebagai sumber penyelesaian bagi seluruh masalah kehidupan kita. Justeru, umat Islam wajib mengambil Al-Qur’an sebagaimana yang Allah perintahkan. Umat Islam wajib berpegang teguh kepada Al-Qur’an sebagaimana
Rasulullah dan para sahabat berpegang teguh dengannya. Sesiapa sahaja yang tidak mengambil Al-Qur’an

sebagaimana yang Allah perintahkan, maka hendaklah ia takut akan diadukan oleh Rasul Sallallahu ‘alaihi wa Sallam ke hadhrat Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan pengaduan seperti dalam firman-Nya, “Berkatalah Rasul, “Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan Al-Quran itu sesuatu yang tidak diacuhkan.” [TMQ al-Furqan (25):30]. Maksudnya, mereka menjadikan Al-Qur’an sebagai kitab yang ditinggalkan, diabaikan dan tidak dipedulikan. Imam Ibnu Katsir dalam tafsirnya telah merinci hal-hal yang termasuk ke dalam sikap tidak mengacuhkan Al-Qur’an. Di antaranya adalah tidak mengimani dan membenarkannya; tidak mentadabbur (mengkaji) dan memahaminya; tidak mengamalkan dan mematuhi perintah dan larangannya; berpaling darinya dan lebih memilih yang lain, baik berupa syair, ucapan, nyanyian, permainan, atau jalan hidup yang diambil dari selain Al-Qur’an; tidak mahu menyemak dan mendengarkan Al-Qur’an serta membuat kecoh hingga tidak mendengar Al-Qur’an saat
ia dibacakan.


No comments:

Post a Comment